SSP CYBERJAYA MENJUARAI KEJOHANAN HOKI SBP KEBANGSAAN
Ditulis oleh SSP @ Cyberjaya
Jumaat, 10 Mei 2013 09:01
Pada 30 April hingga 4 Mei 2013, Sekolah Seri Puteri Cyberjaya telah menghantar pasukan hoki ke Kejohanan Hoki Sekolah Berasrama Penuh Peringkat Kebangsaan 2013 di Sek. Men Sains Kepala Batas, Pulau Pinang. SSP turun sebagai juara bertahan. Setelah selesai pendaftaran dan taklimat pada hari pertama, SSP memulakan langkah pasukan pertama yang bermain pada jam 8.00 pagi pada hari kedua. Semua pasukan perempuan bermain di Stadium Hoki Majlis Perbandaran Sungai Petani. SSP menentang SMS Tengku Muhammad Faris Petra. Keputusan berakhir dengan seri 2-2. Seterusnya, kami meneruskan perjuangan dengan menentang SBPI Gopeng. Kami telah menang dengan jaringan 3-0. Dengan keputusan ini, ia telah melayakkan kami menjadi johan kumpulan. Setelah undian diadakan, SSP telah diundi bersama dengan SM Sains Selangor dan SM Sains Machang di dalam pusingan kedua. Dalam perlawanan pertama pusingan ini, SSP telah menentang SM Sains Selangor dan keputusan berakhir dengan seri tanpa jaringan. Perlawanan kedua pula telah menemukan SSP dan SM Sains Machang. Setelah berusaha bermatian-matian, SSP telah memenangi perlawanan dengan jaringan 3-0. Setelah menjadi johan kumpulan pada pusingan ini, SSP telah melayakkan diri ke pusingan separuh akhir dengan menentang SMS Tengku Muhammad Faris Petra. Usaha yang bersungguh- sungguh dan tanpa mengenal penat lelah, SSP telah berjaya memenangi perlawanan ini dengan jaringan 2-0. Dengan kemenangan ini, Sekolah Seri Puteri, telah melayakkan diri ke perlawanan akhir.
Seri Puteri Winds (SP Winds) akan mengadakan konsert amal yang dikenali sebagai “Konsert Amal Flourishes 2013” pada Rabu, 22 Mei 2013 mulai jam 8.15 malam di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Konsert Amal ini merupakan konsert kali ketiga yang dipersembahkan oleh SP Winds. Konsert pertama pada tahun 2011 di Auditorium Cempakasari, Kompleks Perbadanan Putrajaya manakala konsert kedua diadakan pada tahun 2012 juga ditempat yang sama. Konsert Amal yang dianjurkan oleh PIBG Sekolah Seri Puteri Cyberjaya merupakan satu daripada aktiviti mengumpul dana bagi membiayai penyertaan SP Winds ke "Australian International Music Festival – AIMF2013” yang akan berlangsung di Sydney Opera House pada 7-14 Julai 2013. Objektif lain ialah untuk mempersembahkan bakat dan kebolehan murid-murid yang terlibat dalam Pasukan Pancaragam serta meningkatkan jalinan kerjasama antara ibu bapa, pihak luar dan Sekolah Seri Puteri Cyberjaya.
Konsert yang berdurasi dua jam dibahagikan kepada dua segmen. Segmen pertama mempersembahkan lagu-lagu seperti Pax Romana, Jauh-jauh, Pater Noster, Fantasia 2000, Greensleeves dan Nessun Dorma. Segmen kedua pula mempersembahkan My Favourite Things, Joget Kenangan, My Way, Themes from 007, Carpenter’s, Forever dan Cindai. Tiket-tiket berharga RM25.00, RM75.00, RM150.00, RM250.00, RM350.00 dan RM500.00 dibuka untuk jualan dan tempahan. Sebarang pertanyaan bolehlah diajukan kepada Puan Shahriyah Abdul Rashid (019-4352090) atau emel :
Alamat email ini dilindungi dari Spambot. Perlukan JavaScript untuk melihatnya
. Tempahan tiket boleh dibuat di SINI. Sokongan semua amat dihargai.
Kali Terakhir ubah Isnin, 13 Mei 2013 07:21
SSP CYBERJAYA MENANG ANUGERAH GANGSA DI KIWIE 2013, KOREA SELATAN
Ditulis oleh SSP @ Cyberjaya
Rabu, 08 Mei 2013 14:00
Dua orang murid dan seorang guru SSP Cyberjaya menyertai “6th Korea International Women’s Invention Exposition (KIWIE)” yang berlangsung di Coax Hall, Seoul, Korea Selatan pada 1 hingga 5 Mei 2013. Program ini dianjurkan oleh Korea Women Inventors Association (KWIA) yang mendapat mandat dan sokongan daripada Korea Intellectual Property Office (KIPO), sebagai satu daripada usaha mempromosikan penglibatan usahanita di Korea. Murid yang terlibat ialah Reena Awliyatul Imani Reezal Merican dan Nadia Alysaa Shamsul Muhardzi. Guru pengiring ialah Puan Habsah Bt Ahmad. Projek ini mendapat ANUGERAH GANGSA dan Special Awarddari Asian Invention Associate.
Inovasi yang dipertandingkan bertajuk “PRODUCTION OF GREEN PAPER TO REDUCE ENVIRONMENTAL PROBLEM”. Projek ini berasaskan kertas surat khabar lama dan kotak-kotak terbuang. Bahan fiber yang digunakan untuk menguatkan kertas ini ialah fiber dari ubi kayu. Ubi kayu sememangnya mudah didapati di negara kita . Keistimewaan inovasi ini ialah kertas ini boleh menyerap bau. Bahan penyerap bau yang digunakan ialah arang. Kertas ini sangat sesuai digunakan sebagai pembalut makanan terutama sekali yang menghasilkan bau yang kuat sepeti durian dan ikan masin. Inovasi ini boleh dikembangkan lagi sebagai bahan penyerap bau mayat untuk kegunaan forensik dan pihak berkuasa yang berkaitan. Ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu merealisasikan penyertaan dalam program ini.