TAHNIAH THALIONS

Pasukan Debat Bahasa Inggeris SSP, THALIONS diberi peluang untuk melawat ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) bertempat di pusat bandaraya New York, USA.

Pelajar-pelajar diberi penerangan berkenaan sejarah dan peranan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan berkesempatan melawat Dewan Perhimpunan Agung serta dewan-dewan utama organ di bawah PBB seperti Majlis Keselamatan, Majlis Ekonomi dan Sosial, Majlis Peramanahan dan Sekretariat, diiringi oleh Puan Samsiah Abdul Majid, Chaplain di Westchester Medical Center, New York yang telah berbesar hati untuk menaja.

Selesai lawatan, pelajar-pelajar diberi peluang keemasan untuk bertemu dengan pengurusan Misi Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Sesi penerangan dan soal jawab diketuai oleh Puan Nurul Syaza Azlisha (First Secretary) dan turut disertai oleh Kolonel Mohamad Suria Mohamad Saad (Defense Advisor), Encik Mohd Hafiz Othman (Minister Caunsellor), Puan Azizah Abd Aziz (First Secretary) dan Cik Sarah Zahira Ruhama (Second Secretary) cukup berharga dalam usaha untuk memberi pendedahan berkenaan penglibatan Malaysia dalam isu-isu keamanan dunia.

Majlis diteruskan dengan pemberian cenderahati yang diserahkan kepada guru pengiring, Puan Malissa Mohd Kamal sebagai wakil kepada SSP dan disudahi dengan jamuan minum petang.

Bagi pihak pentadbiran dan warga SSP, setinggi-tinggi penghargaan kami ucapkan kepada Misi Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Puan Samsiah, seorang warga New York lebih 20 tahun namun sentiasa mahu membantu anak-anak muda Malaysia, atas layanan cukup istimewa yang telah diberikan kepada pelajar-pelajar kami.

Kami percaya pertemuan dan perkongsian ilmu yang dibuat telah memberi impak dan sumber inspirasi kepada pelajar-pelajar muda yang terlibat.