forex trading logo

Home Berita Berita Sekolah (Umum) PROGRAM PENGANTARABANGSAAN KE KOREA SELATAN
PROGRAM PENGANTARABANGSAAN KE KOREA SELATAN PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh SSP @ Cyberjaya   
Jumaat, 06 Ogos 2010 11:14

Sekolah Seri Puteri Cyberjaya menganjurkan Program Pengantarabangsaan Ke Korea Selatan bermula 6-12 Ogos 2010. Seramai dua orang guru yang diketuai Penolong Kanan Kokurikulum dan empat orang murid tingkatan empat menyertai program ini. Tema program ialah "Unesco Heritage Discovery Program In Kyungju". Program ini dianjurkan oleh Wonhwa Girls' High School, Daegu yang merupakan sekolah kembar SSP di Korea Selatan. Program ini juga melibatkan Hijiyama Gilrs' School, Jepun. Pelbagai program dan aktiviti yang melibatkan tiga negara diatur oleh pihak penganjur.

CATATAN PERJALANAN

 

Jumaat, 5.30 petang - Bertolak dari rumah ke KLIA mengggunakan van SSP bersama-sama lima orang peserta yang lain.

Jumaat, 8.55 malam - Berlepas dari KLIA menggunakan pesawat Singapore Airlines . Lewat sedikit daripada jadual pada jam 8.30 malam.

Jumaat, 9.45 malam - Tiba di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Changi untuk transit seketika. Solat Isyak & Maghrib di Surau yang selesa di Lapangan Terbang.

Sabtu, 12.30 tgh. malam - Berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi ke Incheon , Korea Selatan menggunakan pesawat Singapore Airlines (SG612). Perjalananan memakan masa selama 6 jam dan dijangka tiba di Incheon jam 7.30 pagi (waktu Seoul cepat sejam). Hanya 6 orang sahaja Melayu Islam yang memesan Muslim food, yang lain (500 penumpang) terdiri daripada Singaporean & Korean. Jam 4.30 pagi, cuaca cerah seolah-olah jam 7.00 pagi. Rupa-rupanya waktu subuh dah hampir luput. Jam 5.00 pagi makanan dihidangkan dan kami adalah kumpulan terawal yang menerima makanan. Kumpulan yang lain lewat 30 minit selepas itu. Jam 7.25 pagi pesawat mendarat dengan selamatnya di Incheon. Incheon tidaklah sesibuk KLIA dan Changi.  Perjalanan untuk ke tempat mengambil beg agak jauh dan memakan masa 30 minit (termasuk sesi bergambar). Pemeriksaan pasport memakan masa 10 minit sahaja, Tambahan pula kumpulan yang lain sudah berlalu. Beg tiba beberapa waktu selepas ketibaan kami di carousel 15. Kemudahan tandas agak terhad dan memerlukan masa yang agak lama (maklumlah tak ada paip air).

Sabtu, 8.00 pagi - Keluar melalui pintu D. Kastam tiada sebarang masalah. Dua orang guru daripada Wonhwa Gils' High School iaitu Mr Kim dan Mr Junho sabar menanti dan kami terus di bawa ke coaster. Jam 9.00 pagi kami tiba di Masjid Soeul, sebuah masjid yang indah dan terletak di puncak bukit. Kawasan sekitar banyak kedai yang menjual makanan muslim. Berjumpa dengan sukarelawan dari Turki yang mengajar di Prince Sultan School, bersebelahan Masjid Seoul. Apa yang mengagumkan kami ailah sukarelawan ini boleh berbahasa Melayu dengan baik. Rupa-rupanya dia juga berkhidmat di sebuah pusat Tahfiz di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Jihad Fisabillah katanya, untuk mendidik ummat. Alhamdulillah.

Sabtu, 11.30 pagi - Kedai Makanan Organic (Vegeterian) - Bertolak daripada Masjid Seoul untuk ke Daegu. Perjalananan ke Daegu akan memakan masa selama empat jam. Singgah di perjalanan untuk mengalas perut. Berhenti di sebuah kedai vegeterian. Rupa-rupanya kedai makan di Korea hanya dibuak mulai jam 12.00 tengahari. Terpaksa menunggu seketika sebelum menjamah hidangan yang terdiri daripada vegeterian.

Sabtu, 4.30 petang - Tiba di Wonhwa Girls' High School di daegu  iaitu empat jam perjalanan menggunakan lebuh raya bertol dari Seoul. Daegu adalah bandaraya ketiga terbesar di Korea Selatan selepas Seoul dan Busan. Bandaraya Daegu cantik dan memukau pandangan dengan bangunan-bangunan dan pemandangan yang mengasyikkan. Ketibaan kami di Wonhwa Girls' High School disambut oleh Tuan Pengetua, Penolong-Penolong Kanan dan ibu bapa angkat bersama anak masing-masing. Sekolah sedang bercuti 'Summer Vacation'. Berbincang ringkas dengan Dr Lee Bok, Pengetua Wonhwa sebelum majlis sambutan rasmi di Bilik Mesyuarat. Jam lima petang, murid-murid dibawa oleh ibu bapa angkat masing-masing manakala guru bertolak ke Eldis Regent Hotel yang merupakan hotel penginapan sepanjang di Daegu.Jam 6.45 petang bertolak ke pusat bandar untuk makan malam (makan roti dan Coke sahaja - yang lain tak boleh makan).

Ahad, 9.30 pagi - Bertolak dari hotel ke Wonhwa untuk lawatan sekitar Daegu. Jam 10.00 pagi bertolak untuk melawat bandaraya Daegu menaiki Bas Daegu Metropolitan City Tour. Destinasi pertama ialah Bongmu Park, salah sebuah kawasan tadahan dan juga hutan rekreasi di Daegu. Antara lokasi lawatan ialah Taman Rama-Rama . Pelbagai jenis rama-rama terdapat di kawasan ini selain menyaksikan video proses kelahiran dan kehidupan makhluk Tuhan yang bernama rama-rama.

Ahad, 11.30 pagi - Destinasi kedua lawatan ialah Guam Farm Stay, sebuah kawasan tanaman organik yang amat luas dengan pelbaai jenis tanaman. Ativiti pertama ialah menyaksikan proses penghasilan makanan tradisonal yang diperbuat daripada beras pulut yang telah dimasak yang dilenyek menggunakan kaedah tradisional. Selepas puas melenyek beras pulut, akhirnya beras pulut berkenaan sedia untuk dimakan dan dipotong seperti kek ikan. Selepas itu, makan tengahari dikawasan bersebelahan.Menu utama ialah makanan tradisional Korea seperti "Kimchi" yang menggunakan tanaman organik. Semua tumbuhan dihasilkan secara organik. Selepas makan tengahari, aktiviti seterusnya ialah menghasilkan anyaman tradisional menggunakan jerami untuk membuat bakul telur. Semua ahli roombongan berjaya menghasilkan bakul telur yang boleh memuatkan dua biji telur.Aktiviti di Guam Farm Stay diteruskan dengan menaiki traktor untuk ke lokasi penanaman tomato secara organik. Kawasan penanaman yang luas amat mengkagumkan kami terutamanya menggunakan teknologi organik sepenuhnya. Kami berkesempatan memetik tomato yang masak dan boleh dibawa pulang, iaitu sebanyak 300 gram setiap orang. Harga pasaran tomato berkenaan bagi setiap 300 gram ialah RM10.00.

Ahad, 2.30 petang - Destinasi lawatan seterusnya ialah Daegu Bangjja Yugi (Korean Bronzeware) Museum. Muzium ini merupakan muzium khusus untuk barangan besi keluli yang menjadi kebanggaan penduduk Daegu. Keluasan binaan muzium ini ialah 3,758 meter persegi. Lawatan berlangsung sekitar 1 jam 30 minit. Muzium ini dibuka pada tahun 2007 yang merupakan muzium kebanggaan  yang memainkan peranan penting mempertahan dan mewariskan Bangjja Yugi, yang merupakan salah satu aset kebanggaan kebudayaan tradisi Korea. Terdapat 1,489 item dan perpenghasilan dipamerkan. Muzium ini adalah hasil usaha Master Lee-Bong Yu yang bertungkus lumus menjayakan usaha ini dan akhirnya kerajaan Korea Selatan mengiktiraf usaha ini sebagai Warisan Kebudayaan Tidak Ternilai No 77. Jam 6.30 malam bertolak ke Restoran jepun untuk makan malam bersama-sama barisan pentadbir Wonhwa Girls' High School dan juga delegasi Hijiyama Girls' High School. Makan malam berakhir jam 9.00 malam. Bertolak pulang ke Hotel.

Isnin, 9.30 pagi - Berkumpul di lobi hotel bersama delegasi Jepun. Destinasi pertama ialah Wonhwa Girls' High School untuk menghadiri 'English Camp'. 'English Camp' melibatkan empat negara iaitu Korea, Malaysia, Jepun dan Kanada. Seramai 60 orang murid dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan Merah dan kumpulan Biru. Setiap kumpulan diterajui guru dari Kanada. Kumpulan Merah dan Biru juga dibawa melawat sekitar sekolah sehingga jam 12.00 tengahari. Delegasi guru Malaysia dibawa ke Daegu Departmental Store untuk makan tengahari. Pastinya Restoran Korea. harga barangan adalah seperti berikut :-

Tembikai - 1 biji @ RM65.00, Nenas - 1biji @ RM18.00, Kobis Bulat - 1 biji @ RM15.00, Telur - 12 biji @ RM18.00 dan Ayam - 1 kilo @ RM16.00

Jam 1.30 bertolak ke Seomun Market, pasar tradisional yang terbesar di Daegu. Secara umumnya, barangan yang dijual di pasar ini (termasuk cenderamata) adalah 300% lebih mahal berbanding di Malaysia. Jam 6.00 petang bertolak ke Restoran Korea untuk makan malam. Hidangan utama adalah makanan tradisional Korea, termasuk daging Korea yang amat digemari oleh masyarakat Jepun. Daging dimakan mentah atau di panggang. Pastinya daging ini juga tidak boleh dimakan kerana tidak disembelih mengikut syariat. Yang boleh dimakan hanya nasi dan tembikai dan Coca Cola. Namun demikian, kami dapat serba sedikit memahami cara hidup dan budaya masyakarat Korea dan Jepun. Gaji guru di Korea adalah 300% lebih tinggi berbanding di Malaysia, namun kos hidup secara umumnya empat kali lebih tinggi berbanding Malaysia. Barangan yang boleh dikategorikan sebagai 'Murah' di Korea hanyalah kereta buatan tempatan (Kia dan Hyundai), iaitu 50% lebih rendah berbanding Malaysia, namun harga petrol adalah 300% lebih tinggi berbanding Malaysia iaitu RM6.00 seliter. Barangan elektrik buatan tempatan seperti barangan keluaran Samsung, LG dan lain-lain secara umumnya lebih mahal harganya berbanding harga di Malaysia. Kesimpulan yang kami dapat untuk hari ini ialah guru-guru di Malaysia patut bersyukur walaupun gaji tidak berapa tinggi, namun kos hidup secara umumnya relatif rendah. Walaupun harga kereta relatif tinggi, tapi harga petrol masih relatif rendah.Masyarakat Korea juga lebih gemar tinggal di kediaman jenis Apartmen kerana kepelbagaian kemudahan yang terdapat di apartmen berbanding kediaman bertanah. Kadar bayaran bulanan untuk penyelenggaraan dan perkhidmatan yang agak tinggi iaitu RM600.00 sebulan sama sekali tidak menggugat minat masyarakat Korea untuk tinggal di apartmen. Selain kemudahan yang lengkap, apartmen menjadi pilihan kerana masyarakat Korea tidak mempunyai masa untuk menguruskan rumah kerana tuntutan kerja.. Masyarakat Korea adalah masyarakat yang 'gila kerja', bayangkan guru sekolah menengah tinggi akan bekerja mulai jam 8.00 pagi hingga 10 malam setiap hari. Mereka juga perlu bekerja pada hari sabtu kedua dan sabtu keempat..Bersyukurlah....... Murid juga bertukar keluarga angkat pada hari ini. Perancangan awal ialah menempatkan seorang murid dengan satu keluarga angkat, namun atas permintaan ibu bapa Malaysia, dua orang murid ditempatkan untuk satu keluarga angkat, oleh yang demikian mereka berpindah untuk ke rumah keluarga angkat yang baru. Malam terakhir semua murid menginap di Eldis Regent Hotel.

Selasa, 9.00 pagi - Bertolak ke Wonhwa Girls' High School untuk bersama-sama dengan murid SSP, Wonhwa dan Hijiyama untuk lawatan ke tapak warisan Unesco di Kyugu. Ahli rombongan seramai 80 orang berangkat ke Kyugu menggunakan dua buah bas. Objektif utama ialah untuk melawat tapak warisan dunia UNESCO di Kyugu. Pada jam 10.30 pagi, selamat tiba di Kyugu. Lawatan memakan masa selama satu jam. Jam 11.30 pagi berangkat ke lokasi bersejarah yang kedua yang merupakan kawasan perkuburan raja-raja Dinasti Silla. Jam 12.30 tengahari bergerak ke sebuah restoran tradisional Korea untuk makan tengahari. Jam 2.30 petang bergerak ke lokasi seterusnya iaitu Muzium Olgel, iaitu muzium yang menempatkan peralatan muzik lama dan barangan bersejarah yang lain. Jam 4.10 petang tiba di Hotel dan buat persiapan untuk Majlis Penutup dan Persembahan Tiga Negara. Jam 5.00 petang berangkat ke lokasi makan malam, persembahan dan majlis penutup yang merupakan sebuah dewan di restoran lima bintang di pusat bandar. Majlis berlangsung sehingga jam 10.30 malam dan tibalah masanya untuk perpisahan. Delegasi Malaysia dan Jepun bergerak pulang ke hotel pada jam 10.30 malam. Delegasi Jepun akan check out hotel untuk pulang ke Jepun pada jam 8.30 pagi manakala delegasi Malaysia akan check out pada jam 9.45 pagi untuk bergerak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Seoul yang akan memakan masa selama empat jam. Selamat Berpuasa.

Rabu, 10.00 pagi - Hari ini adalah hari terakhir di Daegu. Proses daftar keluar hotel selesai jam 10.10 pagi. Dr Lee Wook, Pengetua Wonhwa Girls' High School dan guru dan keluarga angkat sedia menunggu di lobi Hotel Eldis Regent untuk mengucapkan Selamat Jalan. Suasana di Daegu agak sejuk kerana hujan masih belum berhenti angkara taufan yang sedang membadai selatan Korea.Setelah mengucapkan selamat tinggal, kami bertolak dengan tiga buah kereta untuk ke perhentian bas Daegu pada jam 10.35 pagi. Jam 10.50 pagi kami tiba di perhentian bas. Turut mengiringi kami menaiki bas eksekutif itu ialah Mr Kim Wonho, penyelaras program pengantarabangsaan yang setiap masa ada bersama-sama kami sepanjang kami di Korea. Perjalanan memakan masa selama empat jam. Setelah dua jam perjalanan, bas berhenti selama 20 minit di hentian rawat dan rehat. Tepat jam 11.20 pagi, bas bertolak dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon (LTAI) pada jam 1.00 tengahari. Rakan Cikgu Adzu dari Jungsan High School sedia menunggu di LTAI. Setelah menemai kaunter daftar masuk, Mr Kim Wanho berangkat pulang ke Daegu. Pada jam 3.45 petang, daftar masuk bermula. Kami tidak menghadapi sebarang masalah walaupun bagasi lebih sebanyak 5 kg, Alhamdulillah. Setelah selesai proses daftar masuk, kami mengambil peluang untuk meninjau sekitar LTAI yang luas itu. Jam 5.50 petang, kami mula masuk ke terminal. Proses pemeriksaan keselamatan agak ketat berbanding dengan lapangan terbang yang lain, Alhamdulilah kami tidak menghadapi sebarang masalah. Kami perlu menaiki aerotrain selama 8 minit untuk ke terminal perlepasan. Setibananya di terminal, kami mencari Bilik Solat untuk solat Zohor & Asar dan akhirnya kami menemui bilik solat yang sememangnya dikhususkan untuk penganut Islam yang lengkap dengan Al-Quran dan Sejadah (Alhamdulilllah LTAI juga menyediakan Bilik Solat sepertimana LTAC).

Jam 7.15 petang, kami mula memasuki kapal terbang. Setibanya diatas kapal, kami telah meminta jus untuk berbuka puasa yang masuk pada jam 7.30 malam. Alhamdulillah kami bukan sahaja mendapat jus oren, tetapi juga kacang dan coklat. Perlepasan lewat selama 30 minit kerana kesibukan trafik. Penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi memakan masa selama enam jam. Tepat jam 1.50 pagi, kapal terbang mendarat di landasan dengan selamatnya. Alhamdulillah.

Selepas ketibaan di terminal 3 LTAC, kami Bilik Solat untuk solat Maghrib dan Isyak. Kami akan transit di LTAC selama  tujuh jam kerana penerbangan ke KLIA akan berlepas jam 8.30 pagi. Setelah melayari internet selama beberapa ketika, Cikgu Adzu dan murid-murid berkumpul u ntuk berbincang tentang dapatan daripada program di Korea untuk persiapan pembentangan dan laporan program sehingga jam 3.30 pagi. Jam 4.45 pagi, mula bertolak ke Burger King untuk Bersahur dan seterusnya solat subuh. Pada jam 6.45 pagi, bertolak ke Terminal 2 untuk persiapan penerbangan ke KLIA. Insya Allah, kami akan tiba di KLIA pada jam 9.30 pagi.

aziz@LTAC 07:30

Kali Terakhir ubah Jumaat, 27 Ogos 2010 12:48
 

FACEBOOK




Hakcipta Terpelihara 2010 © Sekolah Seri Puteri

PENAFIAN: Pihak sekolah tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan
yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Sesuai dipapar menggunakan Mozilla Firefox, Internet Explorer 7.0 ke atas dengan resolusi 1024 x 768.

Dijanakan oleh XHTML and CSS.