Pusat Sumber Tuanku Nur Zahirah

VISI PUSAT SUMBER TUANKU NUR ZAHIRAH

PENDIDIKAN BERKUALITI INSAN TERDIDIK NEGARA SEJAHTERA

MISI PUSAT SUMBER TUANKU NUR ZAHIRAH

MELESTARIKAN SISTEM PENDIDIKAN YANG BERKUALITI UNTUK MEMBANGUNKAN POTENSI INDIVIDU BAGI MEMENUHI ASPIRASI NEGARA

SEJARAH PUSAT SUMBER TUANKU NUR ZAHIRAH

SEKOLAH SERI PUTERI, CYBERJAYA

pss-1

Pusat Sumber Puteri telah ditubuhkan pada 1 Mac 2003 seiring dengan perpindahan  Sekolah Seri Puteri, Jalan Kolam Ayer ke premis baru  di Cyberjaya dengan guru penyelaras pusat sumber yang pertama iaitu Cik Vasantha a/p Sanggarapillai. Pada awal penubuhannya, pusat sumber ini hanya mempunyai beberapa buah perabot asas seperti kaunter sirkulasi dan rak buku. Manakala buku-buku pula, dibawa dari  Sekolah Seri Puteri di premis lama di Kuala Lumpur. Setahun kemudian, pusat sumber ini telah beroperasi sepenuhnya  apabila telah menerima kerusi, meja, rak surat khabar dan lain-lain lagi dari Kementerian Pelajaran. Apabila Cik Vasantha a/p Sanggarapillai melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana, jawatan penyelaras pusat sumber diambil alih oleh Puan Azizah Othman pada tahun 2005 hingga kini dengan pelantikan khas dari Jabatan Pelajaran Negeri Selangor. Jawatan tersebut kini dikenali sebagai Guru Perpustakaan Dan Media. Pada tarikh 10 April 2007, Pusat Sumber Puteri telah diberi nama baru iaitu Pusat Sumber Tuanku Nur Zahirah sempena perasmiannya yang gilang gemilang yang disempurnakan  oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

pss-2

Pusat Sumber Tuanku Nur Zahirah yang dilengkapi dengaan alat pendingin hawa ini mempunyai  kemudahan-kemudahan seperti Bilik Tayangan, Bilik Kerja, Bilik Am dan Bilik Persidangan yang dilengkapi dengan LCD, komputer, interactive white board, TV Plasma, peralatan tele sidang dan set pembesar suara. 21 buah komputer di letakkan di luar pusat sumber di ruang khas yang dinamakan Cyber Kiosk manakala 10 buah komputer di dalam pusat sumber di ruang pusat akses. Selain daripada itu, di pusat sumber ini juga terdapat pelbagai koleksi buku fiksyen dan bukan fiksyen, akhbar, majalah, permainan dalaman (indoor games), pelbagai sudut pameran dan galeri. Perkhidmatan cetakan, laminating dan binding pula disediakan untuk memudahkan murid-murid menyiapkan tugasan mereka. Rangkaian pusat sumber pula amat meluas hingga ke seluruh pelosok kawasan sekolah. Rangkaian tersebut ialah bilik-bilik khas panitia, bilik-bilik bahasa antarabangsa, makmal sains, 4 buah makmal komputer, galeri warisan, taman-taman, bilik busana, tandas bermaklumat, laluan ilmu, pondok bacaan, sudut bacaan, bilik bacaan di asrama dan galeri pengantarabangsaan.

Pusat sumber dan hampir seluruh kawasan sekolah yang mempunyai kemudahan akses internet sepanjang masa telah memudahkan pelbagai urusan dan meningkatkan kemahiran IT kepada seluruh warga sekolah. Pusat sumber yang boleh menempatkan seramai 180 orang dalam satu masa ini, sering menerima kunjungan dan lawatan dari sekolah, institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan swasta dari dalam dan luar negara. Suasana yang selesa dan kondusif serta kemudahan yang lengkap telah menjadikan Pusat Sumber Tuanku Nur Zahirah sebagai pilihan utama murid-murid untuk mengulangkaji pelajaran dan mendapatkan pelbagai maklumat.

Klik di sini untuk ke Blog PSS Sekolah Seri Puteri Cyberjaya