Sejarah Penubuhan

Sekolah Seri Puteri yang ditubuhkan pada 6 Mei 1968 pada mulanya dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur. Sekolah yang dibina atas tapak seluas 19 ekar ini, yang sebelumnya menempatkan Sekolah Menengah Teknik, dibina khusus untuk memberi pendidikan peringkat menengah kepada pelajarpelajar perempuan daripada sekolah-sekolah aliran kebangsaan di seluruh negara.

Murid

Pada bulan Mei 1968, sekolah ini menerima kumpulan pelajarnya yang pertama seramai 144 orang dalam tiga buah kelas tingkatan empatnya. Pengetua pertamanya, Puan Khalidah Adibah Amin dibantu oleh sepuluh orang guru dan tiga orang kakitangan bukan akademik. Pada tahun 1969, sekolah ini mula mengambil guru-guru secara kontrak dari Indonesia bagi menampung kekurangan guru sains dan matematik tempatan. Pada tahun-tahun awal penubuhannya, kemudahan untuk pelajar adalah tidak mencukupi dan yang ada pun tidak sesuai untuk membantu pembelajaran atau bagi kediaman pelajar. Masalah-masalah ini bagaimanapun tidak menghalang usaha pelajarpelajar dan guru-gurunya untuk untuk memperbaiki prestasi sekolah ini.

Dalam tempoh dua tahun penubuhannya, sekolah ini mencapai kelulusan 100% dalam peperiksaan Malaysia School Certificate of Education. yang diadakan pada tahun 1970. Kumpulan pertama seramai 102 orang pelajar Tingkatan Enam diterima masuk pada bulan Mei 1971 dan kumpulan pertama seramai 89 orang pelajar Tingkatan Satu kemudiannya diterima masuk pada tahun 1975. Kursus-kursus matrikulasi Universiti Kebangsaan Malaysia juga diadakan pada tahun 1975 dengan bilangan pelajar seramai 88 orang. Tahun 1976 menjadi tahun bersejarah bagi sekolah ini apabila pasukan pancaragam sekolah, yang diasaskan oleh Pengetua ketiga iaitu Puan Hajah Badiah Bt Hj. Abdul Manan, ditubuhkan.

Sekolah ini menyambut ulang tahun ke-10 pada 16 September 1978 dan pada majlis yang bersejarah ini, Pengetua Keempat sekolah ini, Puan Zainab Bt Haji Mohd. Yusop merasmikan nama Sekolah Seri Puteri. Nama itu dipilih kerana ia menggambarkan pelbagai makna yang berkaitan dengan kecantikan, kemuliaan dan kepimpinan. Nama baru itu diharap menjadi sumber inspirasi kepada pelajar-pelajarnya. Lambang baru sekolah ini juga diperkenalkan pada tahun yang sama. Sejak tahun 1978, sekolah ini telah mencatatkan pencapaian yang membanggakan dalam kedua-dua bidang iaitu akademik dan kokurikulum. Berdasarkan prinsip pengintegrasian antara kepercayaan penuh dan pengetahuan luas bagi membentuk individu yang berbudaya ilmu pengetahuan, mampu bersaing, dinamik dan mempunyai wawasan berdasarkan semangat tinggi untuk bersaing, sekolah ini bukan hanya melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga kokurikulum.

CyberjayaMap

Tanggal 1 Mac 2003 pastinya akan bersemadi dalam ingatan warga SSP dimana premis lama di Jalan Kolam Ayer terpaksa ditinggalkan dengan perpindahan ke premis baru yang lebih moden di Cyberjaya , bandaraya bestari. Majlis Perasmian Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya telah diadakan pada Selasa, 10 April 2007. DYMM SPB Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah telah berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis perasmian sekolah dalam suasana gilang gemilang, yang pastinya akan terpahat dalam memori warga SSP.